Daulah Islamiyah sememangnya mempunyai bendera
(Al-Liwa’) dan juga panji (Ar-Rayah). Inilah
apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.
semasa tegaknya Daulah
Islamiyah pertama di Madinah al-Munawwarah pada tahun 622M. Dari segi
bahasanya, bendera dan panji di dalam bahasa Arab disebut 'alam. Mengikut Kamus
al-Muheet, dari akar kata rawiya, ar-rayah adalah al-'alam, yang jama’nya
(majmuk) disebut sebagai rayaat. Juga disebutkan dari akar kata lawiya bahawa al-liwa'
adalah al-'alam, yang jama’nya disebut sebagai alwiyah. Secara syar’ie, syara’
telah menjelaskan bahawa perkataan-perkataan di atas mempunyai maksud dan
ciri-ciri yang tertentu.
Bendera Al Liwa'
Bendera
Islam - Al Liwa'
Bendera Al Liwa' : adalah
berwarna putih dan tertera di atasnya kalimah ‘LA ILAHA ILLALLAH MUHAMMAD
RASULULLAH’ dengan warna hitam.Kalimah tersebut bermaksud 'Tiada tuhan selain
Allah, dan Muhammad Rasulnya'.
Diriwayatkan dari Ibnu Abbas yang
mengatakan, "Bahawa bendera Nabi Muhammad s.a.w.
berwarna hitam, sedangkan panji beliau warnanya putih." Riwayat Ibnu Abbas
yang lain menurut Abi Syeikh dengan lafaz, "Bahawa pada bendera Nabi Muhammad s.a.w. tertulis kalimat ‘LA ILAHA
ILLALLAH MUHAMMAD RASULULLAH’.
Semasa perang (jihad), bendera ini
akan dipegang oleh Amirul Jihad
(panglima/ketua) perang. Ia akan dibawa dan menjadi tanda serta diletakkan di lokasi
Amirul Jihad tadi. Dalil yang menunjukkan
perkara ini adalah perbuatan (af’al) Nabi Muhammad
s.a.w. sendiri, di mana baginda (sebagai amir), semasa pembukaan kota
Makkah telah membawa dan mengibarkan bendera putih bersamanya.
Dari Jabir, "Bahawa Nabi Muhammad s.a.w. memasuki Makkah dengan membawa
Bendera Al Liwa' berwarna putih." [HR Ibnu Majah]. An-Nasa'i juga
meriwayatkan Hadis melalui Anas bahawa semasa Nabi
Muhammad s.a.w. mengangkat Usama ibn Zaid sebagai Amirul Jihad (panglima) pasukan ke Rom, baginda
menyerahkan Bendera Al Liwa' kepada Usama ibn Zaid dengan mengikatnya sendiri.
Panji Ar Rayah
Panji
Islam - Ar Rayah
Panji Ar Rayah adalah berwarna
hitam, yang tertulis di atasnya kalimah ‘LA ILAHA ILLALLAH MUHAMMAD RASULULLAH’
dengan warna putih.
Hadis riwayat Ibnu Abbas di atas
menjelaskan hal ini kepada kita. Semasa jihad, ia dibawa oleh ketua setiap unit
(samada Division, Batalion, Detachment ataupun lain-lain unit). Dalilnya adalah
Nabi Muhammad s.a.w., semasa menjadi panglima
perang di Khaibar, bersabda, "Aku benar-benar akan memberikan panji
(rayah) ini kepada orang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya, serta dicintai
oleh Allah dan Rasul-Nya, lalu Rasulullah memberikan panji itu kepada
Ali." [HR Bukhari]. Saidina Ali karramallahu wajhah pada masa itu boleh
dikatakan bertindak sebagai ketua division ataupun regimen.
Diriwayatkan dari Harits Bin Hassan
Al Bakri yang mengatakan, "Kami datang ke Madinah, saat itu dan Nabi Muhammad s.a.w. sedang berada di atas mimbar,
sementara itu Bilal berdiri dekat dengan beliau dengan pedang di tangannya. Dan
di hadapan Rasulullah terdapat banyak rayah (panji) hitam. Lalu aku bertanya:
"Ini panji-panjii apa?" Mereka pun menjawab: "(panji-panji) Amru
Bin Ash, yang baru tiba dari peperangan."
Dalam riwayat At-Tirmidzi,
menggunakan lafaz, "Aku datang ke Madinah, lalu aku masuk ke masjid di
mana masjid penuh sesak dengan orang ramai, dan di situ terdapat banyak panji
hitam, sementara Bilal -ketika itu- tangannya sedang memegang pedang dekat Nabi Muhammad s.a.w.. Lalu aku bertanya: "Ada
apa dengan orang-orang itu?" Mereka menjawab: "Beliau (Nabi Muhammad
s.a.w.) akan mengirim Amru bin Ash ke suatu tempat."
Maksud ungkapan “terdapat banyak
rayah (panji) hitam” menunjukkan bahawa terdapat banyak panji-panji yang dibawa
oleh para tentera, walaupun amir (panglima perang)nya hanyalah seorang, iaitu
Amru Bin Ash. Dalam riwayat An Nasa'i, dari Anas, "Bahawa Ibnu Ummi Maktum
membawa panji hitam, dalam beberapa pertempuran bersama Nabi Muhammad s.a.w.." Hadis-hadis di atas dan banyak lagi
hadis-hadis lain menunjukkan kepada kita bahawa itulah ciri-ciri bendera dan
panji Nabi Muhammad s.a.w.. Nas-nas tersebut
juga menunjukkan bahawa hanya terdapat satu bendera (liwa’) di dalam satu
pasukan, tetapi boleh terdapat banyak panji (rayah) di dalam setiap unit dalam
pasukan yang sama, yang dipegang oleh ketua unit masing-masing.
Bendera
Kaum Muslimin
Inilah bentuk, corak dan warna
bendera Rasulullah s.a.w. Hadis-hadis yang diriwayatkan menggambarkan dengan jelas
akan bendera dan panji Nabi Muhammad s.a.w. dan
tidak ada spesifikasi lain selain ini. Yang tertera padanya hanyalah satu
kalimah yang Rasulullah s.a.w. diutus kerananya. Kalimah yang telah dibawa dan
diperjuangkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat. Inilah kalimah tauhid
yang menyatukan kita semua tanpa mengira bangsa, warna kulit, sempadan geografi
dan sebagainya. Inilah kalimah yang ada pada bendera Rasulullah s.a.w...
kalimah ”LA ILAHA ILLALLAH MUHAMMAD RASULULLAH”!.